fbpx

Kapal tangki ditahan lakukan pemindahan minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPAL tangki berdaftar di Singapura yang ditahan di Pulau Carey semalam.

KLANG – Sebuah kapal tangki ditahan selepas disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat laut, Pulau Carey di sini semalam.

Penahanan kapal yang berdaftar di Singapura itu dilakukan pukul 11.45 pagi hasil pengkongsian maklumat dan operasi bersama Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut Wilayah Tengah.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kasim berkata, sepasukan bot peronda yang digerakkan ke lokasi mendapati kapal berkenaan disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Katanya, kapal itu dikendalikan lima belas kru termasuk nakhoda kapal yang merupakan warga Indonesia berusia antara 20 hingga 64 tahun dan kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Selain itu, ejen kapal yang dilantik turut berada di atas kapal tersebut.

“Hasil siasatan lanjut, kapal terbabit juga disyaki melakukan kesalahan pemindahan minyak.

“Kapal itu juga didapati dalam perjalanan ke Tanjung Pelepas, Johor ke Pelabuhan Klang di sini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Rosli menambah, tiga individu iaitu kapten, pembantu jurutera kapal serta ejen telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI