Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR
TREND penggunaan kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kehidupan seharian bukanlah lagi suatu yang asing, baik di peringkat global mahupun tempatan.
Melihat pada trend tersebut, tidak hairanlah syarikat-syarikat permotoran berlumba-lumba menawarkan jentera SUV masing-masing kepada pengguna di negara ini.
Salah satu daripadanya ialah Toyota Fortuner, yang menampilkan dua varian baharu kepada para peminat SUV terutamanya pengikut jenama dari Jepun itu.
UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota Motor) baru-baru ini mengumumkan bahawa model Toyota Fortuner baharu akan mula diedarkan awal tahun ini.
Bagi orang ramai yang berminat, tempahan kini mula dibuka di semua cawangan pengedar sah UMW Toyota Motor di seluruh negara.
Jentera yang dipasang sepenuhnya secara tempatan itu dijual pada harga RM203,183 bagi Toyota Fortuner 2.8 VRZ manakala varian 2.7 SRZ pula boleh dimiliki pada tanda harga RM172,244.
Fortuner 2.8 VRZ merupakan varian baharu yang menggantikan Fortuner 2.4 VRZ yang pernah ditawarkan sebelum ini.
Warna baharu iaitu Bronze Mica Metallic (gangsa) dengan bumbung hitam akan ditawarkan secara eksklusif untuk varian flagship terbaharu itu.
Bumbung hitam itu turut ditawarkan bersama jentera berwarna Super White II (putih), yang terhad bagi varian tersebut sahaja.
Empat lagi warna ditawarkan bagi model ini termasuk Medium Silver Metallic (perak), Silver Metallic (perak), Attitude Black Mica (hitam) dan Phantom Brown Metallic (coklat).
Perubahan luaran
Fortuner 2.8 VRZ datang dengan lampu utama Quad LED serta rekaan perumah baharu dengan gril mesh di tengah. Lampu kabus, lampu isyarat dan lampu posisi juga diberikan gaya baharu sementara rekaan bampar depan dan belakang tampil dengan rekaan terkini yang lebih segar.
Skid plate di bahagian hadapan juga baharu sekali gus memberikan imej lebih ranggi kepada Fortuner 2021.
Bagi varian 2.8 VRZ, bahagian bumbung, tiang A, cermin sisi dan spoiler pada bumbung didatangkan dalam warna hitam.
Bagi Fortuner 2.7 SRZ, lampu utama bi-LED turut menerima rekaan baharu bersama dengan rekaan gril dan bampar hadapan yang baharu.
Lampu isyarat, lampu posisi dan lampu belakang turut menerima perubahan kosmetik bagi kedua-dua varian ditawarkan.
Varian Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ turut menggunakan rim aloi 18 inci yang menyerlahkan lagi jentera ini.
Rekaan dalaman
Kemasan dan balutan tempat duduk Fortuner juga hadir dengan rekaan dan warna baharu. Panel instrumennya pula menampilkan animasi pembukaan Multi Info Display (MID) terkini.
Rekaan panel instrumen pada Fortuner 2.7 SRZ juga telah diperbaharui. MID turut memaparkan maklumat tambahan untuk pemandu. Varian ini turut diberikan kemasan warna dalaman serta rekaan balutan kerusi yang baharu.
Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ juga dipasangkan dengan lampu dalaman LED, cermin pandang belakang elektrokronik untuk menghapuskan silau dan tempat duduk hadapan yang boleh dilaraskan juga secara elektronik.
Selari dengan usaha Toyota untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, Fortuner dilengkapi dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense (TSS).
Ia merupakan sistem keselamatan aktif bersepadu yang memanfaatkan kamera dan radar untuk meninjau serta mengesan kenderaan lain, sekali gus menghindari kemalangan.
Walaupun TSS sudah ditawarkan pada kebanyakan model Toyota di pasaran, Fortuner dilengkapi pelbagai ciri keselamatan.
Antaranya Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) serta Yaw Assist Function.
LDA berguna untuk menghindari kemalangan sekiranya pemandu hilang tumpuan atau kenderaan mula tersasar dari laluannya.
Tidak seperti TSS yang lain, sistem pada Fortuner itu mempunyai ciri Yaw Assist Function.
Ia akan diaktifkan jika kenderaan dikesan keluar dari lorong dan brek tambahan akan diberikan ke atas roda berkenaan untuk membawa kenderaan kembali ke dalam kedudukan dan laluan yang sepatutnya.
DRCC pula akan memastikan jarak selamat antara kenderaan dikekalkan.
Kuasa
Toyota Fortuner menggunakan enjin diesel 1GDFTV 4-silinder common rail dengan ciri Variable Nozzle Turbocharger (VNT) dan Intercooler.
Dengan enjin itu, Fortuner mampu menghasilkan kuasa sehingga 204 PS pada 3,400rpm dan tork maksimum 500Nm pada 1,600 hingga 2,800rpm.
Fortuner 2.8 VRZ juga datang dengan stereng kuasa Variable Flow Control (VFC) yang membantu memperbaiki penjimatan minyak dengan cara mengurangkan penggunaan tork oleh pam stereng. Ini dapat dicapai dengan mengenakan mod standby (bantuan rendah) ketika kenderaan tidak dikendalikan. Jentera ini juga didatangkan dengan mod Sport.
Sistem pacuan Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ juga dilengkapi Auto Limited Slip Differential (LSD). Ia merupakan sistem kawalan cengkaman untuk mengawal brek ketika salah satu daripada tayar belakang mula tergelincir kerana permukaan licin, sekali gus membolehkan kuasa enjin dikekalkan atau disalurkan ke roda yang mempunyai cengkaman lebih baik.
Toyota Fortuner didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan bagaimanapun tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.