fbpx

Suami isteri mengaku tidak salah cedera, perdagang amah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lim Tuan Ann, 42, (baju biru) dan isterinya, Lim Siew Lan, 41, ketika tiba di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan mencedera dan memperdagangkan pembantu rumah mereka warga Indonesia tahun lalu.

Lim Tuan Ann, 42, yang merupakan pengusaha besi buruk dan isterinya, Lim Siew Lan, 41, yang tidak bekerja membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, Tuan Ann dan Siew Lan masing-masing didakwa memperdagangkan mangsa yang berusia 26 tahun bagi maksud eksploitasi pengabdian dan pegabdian dengan menggunakan kekerasan di rumah mereka di Taman Batu, Sentul di sini, pada 24 November 2020.

Bagi kesalahan itu kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 12 dan 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan penjara tiga hingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara dihadapan Hakim Mahyon Talib,  Hakim Izralizam Sanusi dan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid, Siew Lan didakwa atas empat pertuduhan lain iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah antaranya menggunakan air panas terhadap mangsa sama di lokasi sama antara 1 Ogos hingga 13 November 2020.

Bagi keempat-empat kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara tujuh dan 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat.

Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli dan Mohamad Shahrizzat Amadan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam R.Sivaraj.

Mahkamah kemudian membenarkan Tuan Ann diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin manakala isterinya Siew Lan diikat jamin RM48,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.

Tarikh 19 Februari ini ditetapkan sebutan semula kes.

Turut hadir dalam prosiding itu, pegawai penyiasat Asisten Superintendan G.S Baldev Singh.

Pada 25 November tahun lalu, media melaporkan sepasang suami isteri ditahan di Taman Batu Jinjang, Sentul kerana disyaki mendera pembantu rumah mereka gara-gara tidak berpuas hati dengan kerjanya.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata pasangan berusia 42 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira 3 petang susulan laporan yang dibuat oleh orang awam pada hari sama.

Hasil serbuan di rumah itu, polis berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang turut mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dipercayai didera oleh majikannya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI