PETALING JAYA – Selepas hampir dua bulan dijangkiti virus Covid-19, penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi mendedahkan suka duka bergelar seorang pesakit virus maut tersebut.
Menerusi video yang dimuat naik dalam Instagramnya, Heliza memberitahu dia dan adiknya, Hazwani Helmi dijangkiti wabak tersebut pada November tahun lalu dan dikuarantin semana lebih daripada sebulan.
“Qadar Allah. Alhamdulillah ala kulli hal ketentuan Allah itu yang terbaik. Sebenarnya tak tahu nak mula dari mana. Dalam kepala ini banyak sangat nak kongsi, jika ada manfaat alhamdulillah.
“Alhamdulillah, perjalanan panjang Allah bagi. Keluar rumah tinggalkan keluarga November 2020, 1 Januari 2021 alhamdulilah akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga.
“Satu pengalaman tak pernah rasa sebelum ini. Sakit yang tak pernah rasa sebelum ini. Kakja dan Ika (adik) saling memberi motivasi antara kami. Dalam keadaan rasa sakit sangat, adik tetap kena ikuti kelas dalam talian dan duduki peperiksaan,” tulisnya.
Tambah Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi, 35, semasa sedang dirawat, dia melihat betapa hebatnya petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus setiap masa kerana ambulans yang membawa pesakit baharu sentiasa keluar masuk tanpa mengira waktu.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen menghujani dan meninggalkan komen mendoakan agar Heliza dan adiknya diberikan kesembuhan dan kesihatan berpanjangan.
Tidak setakat itu, pengikut turut berharap supaya Heliza dapat berkongsi pengalaman sepanjang dikuarantin sebagai salah satu bentuk kesedaran kepada umum terhadap wabak yang sedang menular ketika ini. – K! ONLINE