KOTA KINABALU – Sebanyak RM3.1 juta nilai hasil hutan Sabah yang diambil secara haram telah dirampas Jabatan Perhutanan Sabah sepanjang tahun lalu.
Pengarah Perhutanan Sabah, Frederick Kugan berkata, seramai 68 individu turut ditahan bagi tempoh sama kerana disyaki terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang yang dikuatkuasakan jabatan itu dan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS).
“Semua individu ditahan serta rampasan ini adalah menerusi lebih 200 operasi penguatkuasaan undang-undang kendalian Pasukan Khas Jabatan Perhutanan Sabah (PROTECT).
“Keseluruhan tangkapan diserah kepada polis serta JHLS termasuklah dua suspek kes memiliki gading gajah di Tawau pada Januari tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) Kinabatangan, Dr. Benoit Goossens berkata, cabaran melawan pemburuan haram dan perdagangan hidupan liar tidak mampu diatasi dalam masa yang singkat.
“Ia memerlukan sumber yang besar bagi membolehkan kehadiran secara intensif atau risikan di lapangan oleh pihak penguat kuasa,” katanya. -K! ONLINE