IPOH – Kerajaan negeri Perak melalui Pejabat Tanah dan Galian Perak akan melaksanakan projek e-Tanah iaitu sistem berkomputer bersepadu bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran tanah mulai 15 Februari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, e-Tanah akan membolehkan pengguna mengemukakan permohonan dan pembayaran cukai tanah secara atas talian.
“Sistem tersebut dilihat sebagai salah satu pendorong penting kepada penggunaan teknologi secara dalam talian sepenuhnya bagi memobalisasi penyampaian perkhidmatan awam secara digital.
“Pendigitalan perkhidmatan awam bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan terutamanya ketika negara masih dibelenggu pandemik Covid-19.
“Langkah itu adalah bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahukan suatu sistem penyampaian pengurusan tanah yang lebih mudah, komprehensif dan selamat digunakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Saarani berkata, melalui sistem e-Tanah, transaksi permohonan dan pembayaran akan dilakukan tanpa wayar, tanpa kertas dan tanpa tunai. -K! ONLINE