fbpx

Peluang Ee Yi-Yew Sin ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YEW SIN (kiri) dan Ee Yi berpeluang cerah untuk melangkah ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Ellis-Langridge pada Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, Thailand semalam.

BEREGU lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, Thailand selepas menewaskan wakil England semalam.

Pada aksi kedua Kumpulan A, Ee Yi-Yew Sin menampilkan aksi yang cukup memberangsangkan untuk melakar kemenangan straight-set 21-19, 21-18 ke atas Marcus Ellis-Chris Langridge.

Keputusan itu sedikit seba­nyak menyuntik semangat gandingan No. 15 dunia tersebut selepas tewas 18-21, 22-24 kepada beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Kata Yew Sin, dia berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan pada perlawanan semalam selain mengakui mereka melakukan banyak kesilapan mudah.

“Secara jujur, kami berpuas hati dengan kemenangan hari ini (semalam) walaupun ada lakukan beberapa kesilapan mudah yang memberikan mata kepada pasukan lawan.

“Bagaimanapun, kami cuba bermain seperti biasa selain memperkemaskan permainan. Saya gembira kerana kami berjaya muncul sebagai pemenang pada perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ketika ditanya sama ada berdepan tekanan atau tidak menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan hari ini menentang satu lagi pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, Yew Sin menegaskan, mereka hanya mahu bermain seperti biasa.

“Saya tahu esok (hari ini) perlawanan penting dan kami akan cuba tampilkan aksi terbaik. Kami tidak mahu beri tekanan kepada diri sendiri,” ujarnya lagi.

Ee Yi-Yew Sin sekurang-kurangnya perlu berada pada kedudukan naib juara Kumpulan A bagi memastikan tempat ke separuh akhir pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai AS$1.5 juta (RM6.06 juta) itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI