TAIPING – Kira-kira 35,000 daripada 90,000 nelayan di seluruh negara boleh menarik nafas lega apabila Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan peruntukan khas melalui tabung bencana bagi membantu anak-anak mereka yang menghadapi masalah gajet untuk menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, golongan keluarga nelayan yang berdaftar dengan LKIM dan kurang berkemampuan boleh membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan untuk anak mereka.
“Permohonan ini tidak diwar-warkan sebelum ini namun LKIM mempunyai peruntukan khas bagi membantu pembelajaran untuk anak-anak nelayan yang kurang berkemampuan.
“Kita berharap agar nelayan yang memerlukan bantuan itu boleh membuat permohonan melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di negeri masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan replika cek Bantuan Prihatin Rakyat berjumlah RM304,600 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Larut, Matang dan Selama yang diwakili pegawainya, Syed Nasir Sayed Mahadi di sini hari ini.
Tambah Syed Abu Hussin, isu masalah PdPR perlu ditangani dengan kadar segera agar anak-anak nelayan yang kurang berkemampuan juga dapat mengakses pembelajaran dalam talian.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan kerosakan bernilai RM 2.7 juta membabitkan kerosakan harta benda kompleks pendaratan ikan dan nelayan.
Tambahnya pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada pihak kementerian minggu lalu bagi tujuan bantuan dan proses membaik pulihnya.
Ketika ditanya mengenai bekalan ikan dan udang menjelang perayaan Tahun Baru Cina, Syed Abu Hussin menegaskan, masyarakat tidak perlu bimbang berikutan LKIM masih mempunyai bekalan yang mencukupi di samping sentiasa memantau harga pasaran agar tidak dimanipulasi pihak tertentu. – K! ONLINE.