fbpx

Langkah Tiada Bernoktah Iss Irfan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISS IRFAN

KEHADIRAN pendatang baharu, Iss Arffan dalam arena industri muzik tempatan bukan untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi, sebaliknya dia hanya ingin berkongsi bakat kepada umum.

Realitinya, tidak pernah terlintas untuk dia menjadi seorang penyanyi.

Bakatnya mula disedari ibunya sendiri ketika leka menyanyi di rumah. Yakin dengan kebolehan nyanyian yang dimiliki anaknya, lantas pemuda berusia 21 tahun itu dihantar mengikuti kelas vokal Melayu Asli untuk mengasah bakat.

Ketika di bangku sekolah, pemilik nama sebenar Mohd. Nur Izwandi Affendi pernah menyertai pertandingan nyanyian lagu-lagu Melayu Asli peringkat negeri Sarawak dan membawa pulang gelaran pemenang tempat ketiga.

Selepas tiga tahun menuntut ilmu dalam bidang vokal, barulah pemuda kelahiran Kuching, Sarawak itu memberanikan diri untuk membuat persembahan seperti busking dan menyertai beberapa pertandingan nyanyian di sekitar negerinya.

PERNAH menyertai program Lagu Cinta Kita 2 (LCK2), anak kelahiran Sarawak ini berharap agar kehadirannya dalam industri diterima ramai.

Menurut Iss Arffan, dia yang sebelum ini merupakan seorang pemain bola sepak ketika di bangku sekolah kemudiannya jatuh cinta terhadap bidang nyanyian.

“Saya banyak menyanyikan semula lagu dalam Instagram. Ada juga sesekali mencuba nasib menghantar demo ke beberapa label muzik.

“Alhamdulillah percubaan saya membuahkan hasil apabila dilamar untuk bernaung bawah Map Music yang tertarik dengan keunikan suara saya,” katanya.

Selepas itu, dia perlahan-lahan membina tapak dalam industri apabila berpeluang menjadi peserta program Lagu Cinta Kita 2 (LCK2) di TV3. Iss Arffan memenangi tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.

Usai pertandingan berkenaan tamat, dia mengatur langkah kemas menerusi single perdana bergenre balada berjudul Tiada Bernoktah.

“Tiada Bernoktah merupakan ciptaan El Hadam yang mengisahkan tentang seorang lelaki untuk membuat persediaan demi memenuhi kehendak kekasihnya.

“Namun, kekasihnya beralih arah selepas berjumpa dengan lelaki lain yang lebih sempurna di matanya.

“Kisahnya berkisar kecurangan seorang wanita terhadap kekasihnya sendiri,” katanya.

SEBAGAI introduksi dalam industri, Iss Arffan tampil dengan single perdana berjudul Tiada Bernoktah.

Ujarnya lagi, daya tarikan yang ada pada lagu tersebut adalah apabila wanita itu cuba untuk kembali semula kepada kekasihnya apabila sedar dirinya ditipu.

“Single ini telah pun dilancarkan pada 22 Januari lalu dan boleh didapati menerusi semua platform penstriman.

“Harapan saya agar lagu ini mendapat tempat di hati peminat dan sokongan daripada semua pihak terutamanya media. Teruskan memberi sokongan kepada saya agar dapat mewarnai industri muzik tempatan dengan karya berkualiti,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI