PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengemukakan permohonan untuk melantik seramai 1,122 orang Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S29 secara kontrak kepada Kementerian Kewangan.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, langkah itu dilaksanakan memandangkan terdapat peningkatan kes-kes sosial akibat pandemik Covid-19 terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.
“Jadi terdapat keperluan untuk menambah bilangan Pegawai Pelindung dan Pegawai Akhlak di Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM),” katanya pada Majlis Amanat Menteri Tahun 2021 secara atas talian di Facebook KPWKM hari ini.
Sementara itu, Rina berkata, beliau mahu melihat inisiatif dalam talian terus diterokai dan diperkembangkan oleh warga kementerian antaranya kaedah terbaik untuk memaklumkan notifikasi penyampaian bantuan kepada penerima menerusi telefon bimbit dengan pantas, efisien dan tepat.
Katanya, kerajaan menerusi Inisiatif Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian ataupun 4IR akan diperkasakan bagi mendepani dan memenuhi gaya hidup masa kini.
“Jadi usaha – usaha inisiatif transformasi digital perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan masyarakat menghadapi perubahan cara kerja dalam norma baharu yang memerlukan kecekapan, kecepatan dan lebih.
“Antaranya, menggalakkan semua permohonan perkhidmatan bantuan JKM dijalankan secara dalam talian serta memantapkan pangkalan data sedia ada melalui sistem eBantuan JKM,”katanya.
Dalam pada itu, KPWKM juga akan meneruskan pelbagai inisiatif sama ada penambahbaikan kepada program sedia ada mahupun program baharu kepada golongan sasar menerusi peruntukan RM2.5 bilion bagi tahun ini.
Jelas Rina, pihaknya juga akan melaksanakan lima inisiatif menerusi peruntukan tambahan RM791 juta yang akan memanfaatkan kumpulan sasar sama ada daripada segi kenaikan insentif bantuan, program pemerkasaan mahupun program khidmat sokongan.
“Pertamanya, penerima bantuan warga emas akan menerima kenaikan daripada RM350 kepada RM500 sebulan.
“Kedua, bagi golongan orang kurang upaya (OKU), pelbagai inisiatif akan ditambah baik seperti, kadar bantuan OKU tidak berupaya bekerja yang dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan,” katanya.-K! ONLINE.