KOTA KINABALU – Sebanyak 5,054 premis perniagaan di Sabah telah melalui pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari lalu.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata menerusi jumlah itu, 34 premis perniagaan dikenakan tindakan berikutan didapati melakukan beberapa kesalahan.
“Antara kesalahan berkenaan termasuklah kegagalan meletakkan tanda harga, meletakkan harga yang mengelirukan ke atas barangan dan menggunakan alat timbang serta sukat tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.
“Ekoran itu, pelbagai barangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM32,015 turut dirampas,” katanya ketika ditemui selepas melakukan Walkabout Pemantauan Pematuhan SOP PKP serta Pemeriksaan Bekalan Dan Harga Barangan dekat sini hari ini.
Shahelmey berkata, tinjauan sama bukan sahaja meninjau pematuhan SOP dalam kalangan pekerja dan pelanggan, tetapi bertujuan memeriksa bekalan barang-barang keperluan asas serta kedudukan harga barangan terbabit. -K! ONLINE