fbpx

Hartawan yang selayaknya dicemburui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ADHAM SHADAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

TAHUN 2020 yang dirasakan suram sudah berlalu, namun tahun 2021 buat masa ini nampaknya masih sendu. Kehidupan kita masih dengan norma baharu, bahkan sekolah juga tidak dapat beroperasi seperti selalu.

Lantaran kes Covid-19 semakin memburuk sehingga kes harian mencatatkan empat angka, muridmurid semuanya bersekolah di rumah menerusi perantaraan gajet sedia ada atau dibeli baharu.

Ketika penulis asyik skrol media sosial membaca keluhan ramai orang yang cenderung menghambur permasalahan mengharungi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) apabila si miskin perlu membeli peranti elektronik, keperluan internet, pening melayani kerenah pembelajaran anak, tiba-tiba muncul gambar seorang hamba Allah dengan ratusan tablet.

Aura negatif yang menyelubungi atmosfera tidak semena-mena dirasakan bertukar positif. Gambar Ustaz Ebit Lew dengan 100 tablet yang hendak didermakan kepada keluarga miskin yang memerlukan bagai menyumbangkan satu solusi, terhenti seketika leretan rungutan dan keluhan yang mendominasi maya.

Ramai yang mengagumi kedermawanan lelaki itu tidak kira kaum dan agama. Biarpun dia mungkin bukan dalam senarai 100 rakyat Malaysia terkaya, namun lelaki hartawan dengan sikap dermawannya itu sentiasa muncul saat masyarakat berdepan kesusahan.

Barangkali ramai juga yang iri, mencemburuinya atau bercita-cita untuk menjadi berharta sepertinya untuk memperbanyakkan bersedekah kepada orang.

Penulis teringat sepotong hadis popular yang bunyinya kedengaran aneh kerana ‘galakan mendengki’ orang biarpun hadis ini sebenarnya lebih banyak diulas dalam menunjukkan kemuliaan orang yang berilmu.

Sabda Rasulullah SAW: Janganlah berdengki (hasad) melainkan kepada dua jenis orang. Pertama, orang yang dikurniakan Allah dengan limpahan harta kemudian dia membelanjakannya pada jalan yang benar. Kedua, orang yang dikurniakan dengan kebijaksanaan ilmu dan dia mengamalkannya lalu mengajarkannya.

Perkataan hasada iaitu hasad yakni berasa hasad, dengki, iri atau cemburu itu yang pada asalnya merupakan sesuatu yang dilarang Allah digunakan dalam hadis ini dengan pengecualian kepada dua golongan ini.

Bukanlah hadis ini menyeru manusia untuk berdengki atau mencemburui golongan ini dalam erti kata supaya berniat jahat atau melakukan khianat kepada mereka, tetapi adalah supaya timbul di hati kita rasa mahu mencontohi diri dan perbuatan mereka.

Sudahlah direzekikan Allah nikmat harta atau ilmu begitu banyak kemudian dibelanjakan pula ke jalan baik seperti bersedekah atau menyampaikan ilmunya itu.

Sesetengah orang mungkin mengaitkan suatu perbuatan derma dengan sifat riak atau mahu mencari perhatian. Abaikan itu semua. Daripada sibuk menilai apa niat orang bersedekah, lebih baik kita sendiri bersedekah.

Dalam hadis itu bagai tersirat bahawa rezeki yang bertambah itu hanya datang dengan memberi. Dalam Islam, itulah sifir murah rezeki. Sudahkah anda bersedekah hari ini?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI