SEREMBAN – “Selepas saya marah dia terus berlari. Saya tak sangka dia nak terus menghilangkan diri.”
Itu kata bapa kepada seorang kanak-kanak yang hilang, Muhammad Haikal Baharudin, 11, sejak Isnin lalu.
Menurut Baharudin Abdul Rahman, 56, dia mengakui pernah memarahi anak sulung daripada dua beradik itu kerana sikap peliknya tengah malam Isnin
lalu.
Katanya, dia bertindak sedemikian kerana anaknya mahu mengikutnya ke tandas di Medan Selera Taman Seri Mawar di sini kira-kira pukul 12 tengah malam.
“Selepas saya marah, dia terus berlari. Saya tak sangka dia nak terus menghilangkan diri.
“Itulah kali terakhir saya nampak dia, pelbagai cara dan usaha untuk saya cari dia, tetapi gagal,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Senawang di sini semalam.
Baharudin bersama dua anaknya menetap di belakang gerai makanan di medan selera itu.
Katanya, dia sekarang susah hati dengan kehilangan anaknya itu sehingga mengganggu pekerjaan sebagai pekerja kedai makanan.
“Kejadian ini bukan kali pertama berlaku, malah sudah dua kali dia melarikan diri.
“Kali pertama Haikal hilang pada tahun lalu kerana saya larang dia bermain telefon.
“Bagaimanapun, dalam tempoh 24 jam sahaja, Haikal ditemui tidur di tepi jalan berdekatan kawasan ini,” ujarnya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam turut mengeluarkan hebahan pencarian Muhammad Haikal melalui Nur Alert.
Berdasarkan makluman itu, kali terakhir Muhammad Haikal dilihat memakai baju corak belang merah hitam dan berseluar sukan warna biru gelap.
Kanak-kanak mempunyai ketinggian kira-kira 127 sentimeter, berat badan 30 kilogram dan warna kulit hitam manis.
Selain itu, dia juga berbadan gempal, mata berwarna hitam dan rambut pendek.