LONDON – Pelumba Finland, Valtteri Bottas menegaskan dia tidak ambil peduli berhubung kontrak Lewis Hamilton bersama pasukan Mercedes yang ketika ini sedang rancak diperkatakan.
Menurutnya, situasi Hamilton yang sudah hampir sebulan tamat kontrak bersama Mercedes dan masih belum menandatangani perjanjian baharu langsung tidak membuatkan fokusnya terganggu.
Hingga kini, belum ada tanda-tanda Mercedes bersedia untuk melanjutkan kontrak Hamilton, namun ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff sebelum ini menjelaskan pihaknya akan mengumumkan keputusan akhir pada ujian pramusim Mac nanti.
Difahamkan, juara dunia tujuh kali F1, Hamilton tidak bersetuju dengan beberapa terma di dalam perjanjian baharu berkenaan.
“Saya tidak peduli kerana semua pelumba F1 adalah terbaik, jadi siapa yang terpilih pasti sukar. Buat masa ini tumpuan saya untuk melakukan persiapan lebih baik,” kata Bottas.
Naib juara F1 dua kali berturut-turut itu mengakui tumpuannya ketika ini adalah untuk mencabar dirinya menyaingi Hamilton bagi meraih gelaran dunia pertama.
“Sebagai sebuah pasukan, kami telah menunjukkan prestasi terbaik dan rakan sepasukan saya telah mengatasi saya banyak kali, jadi tumpuan saya ketika ini adalah untuk menewaskannya.
“Fokus saya ketika ini adalah mengenai kejuaraan, mengenai kontrak Hamilton saya tidak mahu masuk campur,” tegasnya. – AGENSI