ISKANDAR PUTERI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor akan menyusun waktu pelaksanaan sanitasi di tiga pintu masuk ke negara ini bagi memastikan proses berkenaan berjalan dengan lancar dan tidak mengganggu pergerakan lalu lintas.
Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, penyusunan itu juga dibuat bagi mengelakkan proses sanitasi berkenaan daripada dilakukan pada waktu puncak.
Jelasnya, perkara itu penting terutamanya di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah, di sini, yang banyak dilalui kenderaan berat untuk ke Singapura.
“Berhubung proses sanitasi ini, kita akan menyusun jadual pelaksanaannya bagi memastikan ia dibuat selepas kenderaan pulang dan bukan pada waktu puncak.
“Seperti hari bekerja mungkin kita buat pada hari Jumaat yang mana tidak terlalu ramai orang, jika perlu pada waktu malam pun boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kesalahan tinjauan pelaksanaan proses sanitasi di KSAB, di sini hari ini.
KSAB menyaksikan sejumlah 4,000 kenderaan berat melalui laluan berkenaan secara ulang alik setiap hari membabitkan penghantaran barangan.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad mencadangkan agar JBPM negeri melakukan kerja sanitasi di pintu masuk negara yang terdapat di Johor antaranya KSAB di Gelang Patah, Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).
Menurut Yahaya lagi, kerja sanitasi di KSAB yang bermula hari ini melibatkan kawasan eksport, import, kaunter pejabat, dan plaza kenderaan logistik.
“Dalam operasi hari ini, seramai 25 anggota bomba, 20 anggota Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, dan 15 anggota pengurusan kompleks terlibat.
“Operasi sanitasi di KSAB akan dibuat sebanyak tiga kali seminggu, iaitu pada hari Ahad, Selasa dan Jumaat,” ujarnya.
Selain itu katanya, operasi sanitasi di CIQ juga akan dibuat sebanyak tiga kali seminggu manakala di LTAS mungkin tidak sama kerana penggunaannya yang tidak terlalu kerap.-K! ONLINE.