fbpx

Baca ayat Kursi, pocong ketawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KODI RASHEED di lokasi penggambaran telefilem 44 Hari Bangkitnya Pochong

TIADA yang pelik lebih menarik namun pada masa sama masih membuatkan bulu roma berdiri tegak apabila mendengar kisah belakang tabir daripada pelakon dan kru penggambaran sesebuah naskhah seram.

Mungkin kedengaran klise buat sesetengah orang, namun itu yang dialami pelakon Kodi Rasheed apabila diganggu makhluk halus ketika menjayakan telefilem seram berjudul 44 Hari Bangkitnya Pochong.

Penggambaran dijalankan di sebuah rumah yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Malam pertama penggambaran, cerita Kodi atau nama lengkapnya, Mohd. Zhazmeer Mohd. Rasheed, dia mula mengalami kejadian aneh.
Dipendekkan cerita, bagi mendalami karakter, dia tidur di sebuah rumah yang milik seorang nenek digelar Wan walaupun telah diberikan bilik khas di sebuah resort.

SEPANJANG menjalani penggambaran, Kodi berdepan momen cemas apabila diganggu makhluk halus.

‘Benda’ tiup muka

“Malam itu ketika baru sahaja mahu lelap, tiba-tiba muka saya macam ada orang tiup. Saya buka mata tapi tiada apa-apa. Terkejut juga. Memang tak kelakar. Jantung saya tiba-tiba berdebar.

“Saya cuba juga sambung tidur tetapi tidak boleh sebab dengar ada orang jalan dalam rumah. Iyalah, rumah kampung kan kayu. Kalau orang berjalan boleh dengar. Saya pun panggil Wan tetapi tiada siapa menyahut.

“Saya pun tergerak hati nak bangun buka lampu, malangnya tiada siapa-siapa. Kemudian saya turun bawah tengok Wan tengah tidur,” katanya.

Menurut Kodi, rumah tersebut sebenarnya memang acap kali berlaku macam-macam kejadian aneh, tetapi wanita itu tidak mahu bercerita apa-apa kepadanya sehinggalah penggambaran tamat.

Malam berikutnya sekitar pukul 4 pagi, sedang Kodi dibuai tidur lena, dikejutkan oleh satu bunyi kuat seperti ada sesuatu jatuh di ruang bilik Wan.

“Saya tengah tidur tiba-tiba, ‘pammmmmm! bunyi benda jatuh di bilik Wan. Bunyi sangat kuat sampai saya terjaga ingatkan Wan terjatuh.

“Saya terus lari tengok Wan tapi dia dengan lenanya sedang tidur. Masa menuju ke tempat tidur, saya perasan di belakang macam ada orang ikut tapi saya buat tidak tahu saja.

“Baru nak mula lelap, tiba-tiba dekat bilik sebelah bunyi orang tutup pintu. Tutup kuat-kuat. Saya pun apa lagi, jerit ‘woiii!!’. Saya sergah sebab terperanjat. Dengan lafaz bismillah dan zikir, saya terus buat tak tahu dan tidur tapi tak lena sampai hari siang,” katanya.

KISAH seram yang dipaparkan dalam telefilem 44 Hari Bangkitnya Pochong merupakan garapan kisah benar yang berlaku di sebuah kampung.

Nampak dua ekor pocong

Cerita pelakon filem Ophilia itu lagi, dia tidak akan melupakan momen-momen mendebarkan ketika malam kejadian. Seorang kru produksi mengakui sewaktu tidur di rumah Wan, dia ternampak kelibat dua ekor pocong.

“Masa nak tidur, dia perasan ada dua ekor pocong berdiri di sebelah. Satu tinggi, satu rendah. Apabila dia baca ayat kursi, pocong itu gelakkan dia. Tapi dia tak boleh nak bangun atau lari sebab badan jadi kaku. Memang menyeramkan. Sampailah dia berzikir, barulah pocong itu hilang,” ujarnya.

Tambah Kodi, mereka tidur di rumah Wan sehingga hari terakhir penggambaran. Sewaktu ingin pulang, dia tergerak hati menanyakan tentang ‘rahsia’ rumah tersebut.

“Saya pun tergerak hati nak tanya Wan tentang kisah benar di rumah yang kami tinggal itu. Saya tanya dalam dialek Negeri Sembilan, sebab mak saya orang ‘nogori’.

“Wan, tiap-tiap malam ado bunyi polik-polik kek tompek den tido. Wan tido soghang tak takot ko? Wan cakap, dia dah biasa. Selalu ada dengar orang berlari, ketuk tingkap la, tapi Wan buat tak tahu,” kata Kodi.

Menurut Kodi, Wan memberitahu bahawa tempat dia tidur memang lokasi ‘benda-benda’ itu bermain. Katanya, orang yang tinggal di kampung tersebut pasti tahu kisah ‘berhantu’ di rumah berkenaan.

44 Hari Bangkitnya Pochong akan ditayangkan pada 30 Januari ini pukul 9 malam menerusi Astro Citra.
Telefilem berkenaan merupakan garapan kisah benar yang berlaku sekitar November tahun lalu apabila ada penduduk di beberapa buah kampung diganggu ketukan misteri sehingga menjadi perhatian banyak pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI