fbpx

Atlet Australia dapat vaksin awal ke temasya Olimpik Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATLET Australia akan diberikan vaksin lebih awal sebagai persiapan untuk ke temasya Sukan Olimpik di Tokyo nanti. – AFP

MELBOURNE – Berikutan kebimbangan mengenai pandemik Covid-19, Australia merancang untuk memberi vaksin kepada atlet yang akan menyertai temasya Sukan Olimpik Tokyo lebih awal sebelum berlepas ke Jepun.

Menteri Sukan Australia, Richard­ Colbeck mengesahkan bahawa pihaknya akan memberi vaksin Covid-19 kepada atletnya sebelum menyertai Olimpik yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini nanti.

“Kami telah menerima nasihat daripada Kumpulan Penasihat Teknikal Imunisasi Australia (ATAGI) terhadap atlet yang akan me­nerima vaksin ke Sukan ­Olimpik nanti.

“Sekiranya perancangan ini berjalan baik kami akan meng­hubungi mereka untuk program pemvaksinan itu,” kata Colbeck.

Difahamkan, banyak negara yang terlibat ke temasya itu telah melakukan persiapan dan persediaan untuk memastikan atlet mereka menerima vaksin sebelum ke Tokyo.

Jawatankuasa Olimpik Israel antara negara awal melakukan­nya dan akan menyelesaikan proses tersebut pada akhir Mei nanti.

Penularan Covid-19 di Austra­lia mengakibatkan 909 kes kematian dengan 28,700 kes di negara yang mempunyai populasi 25 juta itu.

Negara itu dijangka akan mengedarkan vaksin jenis Pfizer selain mendapat jaminan akan menerima vaksin daripada ­Oxford/AstraZeneca, namun belum pasti jenis vaksin yang akan diberikan kepada atlet mereka. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI