Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
KEPUTUSAN undian Piala AFC yang meletakkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bersama wakil Singapura, Lion City Sailors tentunya mencuit sentimental yang ada pada dua tonggak utama pasukan Hijau Kuning iaitu jurulatih, Aidil Sharin Sahak dan pemain import baharu, Anumanthan Mohan Kumar.
Ini kerana, kedua-dua mereka memiliki sejarah serta pencapaian membanggakan ketika bersama kelab yang dahulunya dikenali sebagai Home United.
Namun, Aidil menegaskan, komitmennya terhadap KDA FC mengatasi segala-galanya apabila beliau dan para pemain berjanji memberi yang terbaik dalam setiap perlawanan.
“Tentunya ada perasaan berbeza apabila diundi dengan Lion City Sailors. Tetapi keinginan saya untuk mencapai kejayaan bersama Kedah cukup kuat, mengatasi segala-galanya.
“Kita akan tampil terbaik dalam setiap perlawanan. Saya gembira dengan apa yang kita miliki dan pemain tampak memberikan segala-galanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Alor Setar semalam.
Home United adalah kelab pertama dilatih Aidil yang memulakan karier kejurulatihan sejak 2016. Ramai penganalisis bola sepak mula membuka mata terhadap kemampuannya menjadi jurulatih setelah beliau berjaya membawa kelab itu muncul juara Zon ASEAN dan peringkat separuh akhir antara zon pada saingan Piala AFC 2018.
Anumanthan pula merupakan salah seorang daripada anggota pasukan yang dibimbing Aidil setelah menyertai Home United pada 2018.
Menurut jurulatih itu, beliau mengenali hampir 80 peratus pemain Lion City Sailors kerana kebanyakan mereka merupakan bekas anak didiknya dulu.
“Saya tahu kelemahan dan kekuatan mereka selain tahu bagaimana keadaan pengurusan kelab itu. Itu mungkin mendatangkan sedikit kelebihan namun tidak menjamin apa-apa.
“Mereka kini memiliki sumber kewangan cukup ampuh, malah baru saja menandatangani pemain Brazil yang beraksi dalam Liga Portugal dengan nilai tiga juta Dolar Singapura (SGD) atau RM9.1 juta. Jadi kita tahu keinginan mereka untuk mencapai kejayaan pada musim ini cukup kuat,” ujarnya.
Sementara itu, Aidil berkata, beliau tidak mahu terlalu memikirkan mengenai Lion City Sailors semata-mata kerana dua lagi kelab iaitu Saigon dari Vietnam dan pemenang playoff perlu turut diberi perhatian.
“Walau siapa jua yang kita hadapi, saya yakin dengan kemampuan pemain kita. Tahun ini kita mempunyai skuad yang baik di mana terdapat dua lapis pemain berkualiti tinggi yang bersedia beraksi pada Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC,” tambahnya.