PETALING JAYA – Seramai 413 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 396 individu dikompaun manakala 17 lagi direman.
“Antara kesalahan yang direkodkan ialah, tidak memakai pelitup muka (84), tiada penjarakan fizikal (48) serta rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (101).
“Kesalahan lain pula adalah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (64), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (38) dan lain-lain kesalahan (78),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 64,391 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.
Dalam pada itu, katanya, Operasi Benteng turut berjaya menahan 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas dua buah kenderaan darat. – K! ONLINE