GEORGE TOWN – Seorang wanita berusia 63 tahun ditahan reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menawarkan sogokan kepada polis sebanyak RM28,150.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Jamaliah Abd. Manap di Mahkamah Majistret di sini selepas permohonan dibuat Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G. Jayarah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung kes menawarkan wang tunai berjumlah RM28,150 sebagai sogokan kepada anggota polis untuk melepaskan individu yang ditahan.
Terdahulu, wanita itu ditahan bersama enam lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 67 tahun di sini kelmarin selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran rokok dan arak seludup di negeri ini.
Kesemua mereka ditahan menerusi Ops Kontraban yang dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Tengah.
Operasi itu berjaya merampas 184,800 batang rokok kretek dan 1,632 tin arak tidak bercukai masing-masing bernilai RM151,536 dan RM10,883.48.
Selain rokok kretek dan arak, polis turut merampas enam kereta dianggarkan bernilai RM40,000 serta wang tunai RM218,187 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM448,756.48.
Kesemua suspek yang ditahan bersama wang sogokan kemudian diserahkan kepada SPRM Pulau Pinang. – K! ONLINE