JAKARTA – Hos dan selebriti media sosial Indonesia, Maria Vania mengaku tidak makan nasi selama tujuh tahun gara-gara putus cinta, lapor Suara.com kelmarin.
Maria, 30, berkata, dia nekad menjalani diet tanpa nasi bagi membuktikan kepada bekas kekasih bahawa dirinya juga mampu memiliki bentuk badan yang seksi.
“Bekas teman lelaki ialah seorang yang suka bersenam di gimnasium. Cara paling senang untuk balas dendam adalah membuktikan apa yang dia hilang selepas berpisah dengan saya.
“Alasan kami berpisah bukan kerana orang ketiga tetapi kerana dia mengatakan saya memiliki tubuh badan yang tidak seksi,” ujarnya.
Tambah Maria, dia masih menjalani diet itu sehingga kini dan mula jatuh cinta pada dunia senaman serta sering mengamalkan makan makanan sihat.
“Dulu saya kurus tetapi perut buncit jadi kelihatan tidak cantik. Selepas menjalani diet tanpa nasi, perut semakin kempis dan badan semakin sihat,” jelasnya. – Agensi