fbpx

Tujuh individu dikompaun main bola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PORT DICKSON – Tindakan tujuh individu yang berkumpul dan bermain bola di Padang Bola Taman PD Utama dekat sini membawa padah apabila kesemua mereka dikompaun oleh pihak polis kerana didapati melanggar arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua individu berusia antara 20 hingga 50 tahun itu merupakan tujuh daripada 10 individu yang dikenakan kompaun dalam operasi selama dua hari bermula semalan oleh Pasukan Task Force Pematuhan SOP PKP Ibu Pejabat Polis Port Dickson.

“Hasil aduan daripada orang awam, pihak polis telah mengeluarkan kompaun terhadap tujuh individu yang didapati ingkar SOP PKP dengan berkumpul dan bermain bola di padang.

“Manakala tiga kompaun lagi dikeluarkan terhadap tiga individu yang ingkar SOP PKP kerana dikatakan keluar untuk membeli rokok semasa ditahan selepas pukul 12 tengah malam di Sekatan Jalanraya (SJR) di hadapan Balai Polis Lukut,” katanya di sini hari ini.

Menurut Aidi Sham, kesemua yang dikenakan kompaun merupakan warga tempatan di Lukut dan Port Dickson.

“Pihak polis mendapati masih terdapat segelintir individu yang masih berdegil dan tidak patuh kepada SOP MKN (PKP) yang telah ditetapkan dan tindakan kompaun telah dikenakan.

“Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan sepanjang di dalam tempoh PKP yang dikuatkuasakan sehingga 4 Februari 2021,” katanya.

Beliau berkata, Pasukan Task Force Pematuhan SOP akan mengambil tindakan secara berterusan dan agresif demi memastikan masyarakat sentiasa patuh kepada norma baharu agar dapat membendung wabak berbahaya Covid-19 daripada menular khususnya dalam daerah Port Dickson.

“Tawaran kompaun adalah sebanyak RM1,000 bagi setiap satu kesalahan dan hendaklah dijelaskan di Pejabat Kesihatan Port Dickson dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan,” kata beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI