ALOR SETAR – Polis bertindak menahan tiga lelaki selepas video salah seorang daripada mereka yang didakwa kaki pecah rumah tular di Facebook pada semalam.
Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan di sekitar Jalan Datuk Kumbar di sini kira-kira pukul 11.15 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, hantaran mengenai salah seorang suspek itu dibuat di Facebook Penduduk Kuala Kedah.
“Kita bertindak menahan tiga lelaki yang mana salah seorang daripada mereka merupakan individu ditularkan sebagai suspek kes pecah rumah.
“Dalam penahanan itu, kita turut merampas sebungkus plastik mengandungi daun ketum,” katanya di sini hari ini.
Pada semalam, tular satu klip video di laman Facebook Penduduk Kuala Kedah (Original) memaparkan seorang lelaki berada dalam keadaan panik setelah tindakannya mengambil barang dari rumah penduduk setempat dipersoalkan sambil dirakam individu lain.
Dalam nada kasar, lelaki terbabit meminta supaya dirinya tidak dirakam selain meminta perakam video tersebut tidak masuk campur dalam hal itu.
Menurut Ahmad Shukri, ketiga-tiga suspek didapati mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan dadah serta positif dadah jenis methamphetamine. – K! ONLINE