BERGELAR anak kepada pendakwah bebas dan ahli akademik terkenal pasti menjadi tanggungjawab besar demi menjaga nama serta imej keluarga.
Perkara tersebut turut dirasai dan dilalui pelakon baharu yang menggunakan nama pentas sebagai Syafi Tee.
Mungkin ramai yang tidak tahu atau hanya dimaklumi segelintir peminat, Syafi merupakan anak kedua kepada pendakwah tersohor, Dr. Ridhuan Tee Abdullah.
Bagi Syafi, menjadi anak kepada insan dikenali dan sering muncul di kaca televisyen menerusi program agama dan dakwah, sedikit sebanyak memberi sedikit ‘beban’ dan amanah besar yang perlu dipikul.
Menyorot kembali perjalanan seninya, Syafi atau nama sebenarnya Mohd. Syafi Mohd. Ridhuan Tee memberitahu, awalnya dia langsung tidak terdetik untuk bergelar selebriti.
“Ketika hampir tamat belajar dalam jurusan Teknologi Pembuatan di Universiti Sultan Zainal Abidin di Terengganu, saya mula menyusun perjalanan hidup dan inginkan kerjaya yang mempunyai waktu kerja anjal.
“Pada masa itu, saya cari macam-macam kerja, termasuk cuba melibatkan diri dalam program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019.
“Langsung tidak terlintas, DFKL yang disertai sekadar suka-suka tanpa mengharapkan apa-apa akhirnya membuka ruang dan peluang untuk saya bergelar pelakon,” katanya kepada HibGlam saat memulakan introduksi.
Mula dikenali
Meneruskan perbualan, anak kedua daripada enam beradik kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, penglibatan seriusnya dalam dunia lakonan bermula penghujung 2019.
Usai DFKL, Syafi selangkah demi selangkah dia mula mendapat tawaran lakonan bagi beberapa naskhah drama sebagai watak pembantu.
“Seingat saya, drama pertama yang saya lakonkan ialah Tuan Danial menerusi watak Tuan Hatta. Watak gedik yang saya bawakan betul-betul kontra berbanding daripada karakter sebenar. Tetapi saya jenis yang suka mencuba.
“Tamat drama tersebut, saya ditawarkan beberapa lagi drama dan telefilem dengan membawakan peranan sama sebagai sebagai pembantu,” katanya.
Ujarnya, berkat kesabaran dan sedikit bakat anugerah Tuhan, namanya mula mendapat perhatian sutradara dan rumah produksi dengan menawarkan watak utama.
Syafie berkata, dia ditawarkan watak utama menerusi naskhah Hadiah Dari Tuhan arahan Fairuz Loy bergandingan bersama pelakon lain seperti Riena Diana dan Puteri Rafasya.
“Drama yang menghiasi slot Lestary saluran TV3 tersebut mengisahkan realiti kehidupan semasa termasuk kegigihan petugas hadapan pada era pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Menerusi drama 13 episod itu jugalah nama saya mula dikenali lebih-lebih lagi membawakan watak anak muda yang baik dan berdikari,” ujarnya.
Elak bersentuhan
Mendapat restu daripada bapa untuk menjadi sebahagian daripada anak seni, Syafi menyatakan keizinan tersebut bukan tiket untuk melakukan apa sahaja tanpa mengira batasan.
Bagi Syafi, dia mempunyai prinsip dan piawaian tersendiri yang ditetapkan dalam lakonan agar tidak melangkaui batas sebagai seorang lelaki Muslim.
“Antara pesanan papa (panggilan buat bapa) ialah soal menjaga batas bukan muhrim ketika berlakon.
“Saya letak piawaian sendiri iaitu tiada adegan bersentuhan. Kalau ada sekali pun, mesti berlapik dan perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pengarah.
“Papa kerap kali ingatkan perkara itu. Tiap kali pulang ke rumah, papa pasti tegur dan nasihat supaya saya tidak buat perkara bukan-bukan di set penggambaran,” tuturnya.
Baginya, semua nasihat yang diberikan amat penting buat dirinya yang masih hijau dalam kanvas seni. Syafi mengharapkan terus istiqamah dengan pendekatan sebegitu.
Tambahnya, jika berasa tidak selesa dengan mana-mana adegan mahupun babak tertentu, perbincangan akan dilakukan dengan pengarah bagi mencari alternatif lain termasuk teknik penggunaan sudut kamera ketika penggambaran.
Aksi
Ditebak mengenai perancangan kerjaya tahun ini, Syafi, 28, bakal memulakan penggambaran bagi sebuah naskhah terbaharu berjudul Dia Cinta sebanyak 16 episod gandingan bersama Sweet Qismina dan Elfira Loy.
Katanya, untuk filem pula dia masih belum pernah menerima sebarang tawaran buat masa ini.
“Kalau nak tahu saya ini seorang manusia yang kontra. Mungkin orang di luar lihat saya muka baik dan sesuai untuk watak-watak baik sahaja.
“Sebenarnya lama sudah saya idamkan untuk bawa watak-watak yang kontra daripada diri saya, misalnya watak antagonis, perogol, penjahat, psiko, orang gila, aksi pertarungan dan lasak,” katanya.
Menutup perbualan, Syafi menyatakan dia mahu terus kekal fokus dalam bidang seni selagi diberikan peluang dan meletakkan ke tepi perihal cinta dan soal hati.