PETALING JAYA – Sepasukan anggota polis yang dirakam mengusung pedati sempena sambutan Thaipusam 2021 di Kuala Lumpur semalam adalah bertujuan untuk mempercepatkan pergerakan arca berkenaan setelah diminta oleh pihak penganjur.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya telah mengesan penularan video berdurasi lapan saat tersebut.
“Semakan mendapati video berkenaan dirakam sewaktu pihak polis membantu mempercepatkan pergerakan arca berkenaan setelah diminta oleh pihak penganjur berikutan hanya 10 individu sahaja yang dibenarkan terlibat dalam pergerakan tersebut bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Video berkenaan telah dirakam kira-kira pukul 3 pagi semalam di Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S. Lee dan semua petugas polis yang terlibat memberikan bantuan adalah berbangsa India,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Zainal, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan diminta untuk menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan bahawa perarakan Pedati Perak Kuil Sri Subramaniam Swamy Batu Caves itu dibenarkan namun hanya akan melibatkan 10 peserta tanpa penyertaan orang awam.
Jelas beliau, 10 individu yang dibenarkan itu juga ditetapkan perlu berada di dalam kenderaan yang menarik pedati berkenaan untuk sepanjang perjalanan. -K! ONLINE