fbpx

Pelarian Rohingya hilang di kem Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana lengang di kem pelarian Rohingya di Lhokseumawe, Aceh di Indonesia selepas ratusan melarikan diri. - AFP

JAKARTA – Ratusan etnik Rohingya dilaporkan hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia, kata pegawai dan sumber, hari ini.

Hanya 112 pelarian yang masih ada di kem sementara di Lhokseumawe, minggu ini, lapor agensi berita AFP.

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding 400 orang yang tiba di antara bulan Jun dan September tahun lalu.

Setakat ini, pihak berkuasa tempatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat mengesahkan lokasi keberadaan pelarian minoriti Muslim dari Myanmar berkenaan.

Kumpulan itu dikhuatiri mengupah ejen pemerdagangan manusia bagi membantu mereka menyeberangi Selat Melaka dan memasuki Malaysia.

“Kami belum tahu ke mana mereka pergi,” kata Ketua Pasukan Petugas Rohingya di Lhokseumawe, Ridwan Jamil. 

“Tetapi mereka dipercayai akan melarikan diri jika ada peluang meninggalkan kem pelarian kerana matlamat mereka adalah untuk masuk ke Malaysia,” katanya.

Pada 2017, tindakan keras tentera Myanmar yang digambarkan penyiasat PBB sebagai pembunuhan beramai-ramai, memaksa 750,000 orang Rohingya melarikan diri melintasi sempadan ke Cox’s Bazar, sebuah daerah di pesisir tenggara Bangladesh.

Sejak itu, ribuan pelarian membayar ejen pemerdagangan manusia untuk mengeluarkan mereka dari Bangladesh secara haram.

Menurut agensi PBB, pihaknya telah mengingatkan  pelarian agar tidak meninggalkan kem mereka berikutan banyak risiko yang perlu ditanggung.

“Tetapi mereka tetap melarikan diri walaupun kami berusaha  mengingatkan mereka tentang bahaya dan risiko yang dihadapi andai meninggalkan kem termasuk kesan buruk menggunakan khidmat penyeludup,” kata jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Mitra Suryono.

“Tetapi kita harus ingat bahawa kebanyakan daripada mereka mempunyai saudara di negara seperti Malaysia. Itu mungkin salah satu sebab mengapa mereka ingin meneruskan perjalanan,” tambahnya.

Dalam pada itu, kumpulan hak asasi manusia menyalahkan pemerintah Indonesia yang secara drastik mengurangkan kawalan keselamatan di kawasan kem ketika Rohingya ditempatkan di bawah pengawasan UNHCR bulan lalu.

Walaupun Indonesia tidak terlibat dalam sebarang perjanjian konvensyen antarabangsa berkenaan pelarian, tindakan itu melanggar kewajipan pihak berkuasa untuk melindungi mereka, kata Pengarah Pejabat Amnesty Antarabangsa di Indonesia, Usman Hamid. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI