fbpx

MB Perak kesal larangan kakitangan Kemta masuk premis perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenyataan yang tidak membenarkan kakitangan Kemta masuk ke premis perniagaan di Taiping baru-baru ini.

TAIPING – Tindakan beberapa premis perniagaan di bandar ini memasang pelekat kenyataan melarang kakitangan Pusat Koreksional Kamunting (Kemta) Taiping di sini masuk ke premis mereka amat dikesali.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu berlaku kerana persepsi yang salah terhadap petugas barisan hadapan di Kemta Taiping berikutan kem tahanan tersebut pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat Covid-19.

“Adalah tidak adil masyarakat berkecenderungan untuk berasa takut terhadap petugas di Kemta hanya disebabkan mereka pernah dikuarantin berikutan PKPD yang dilaksanakan di situ sebelum ini.

“Larangan kakitangan Kemta masuk ke premis perniagaan ini adalah satu hukuman yang salah dan penghinaan kepada mereka sebagai petugas barisan hadapan,” katanya pada sidang akhbar ketika melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Changkat Jering di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Tambah Saarani, kakitangan Kemta tersebut bukanlah pesakit Covid-19 dan sebahagian daripada mereka telah pun menjalani tempoh kuarantin selama 10 atau 14 hari.

Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat setempat terutama di Taiping tidak memberi persepsi salah kepada petugas barisan hadapan termasuk yang bertugas sebagai warden penjara atau petugas pusat kuarantin termasuk di kem tahanan.

“Sudah tentu mereka pun malu, segan kerana dicop sebagai orang yang tidak dialu-alukan, sedangkan mereka perlu keluar untuk membeli barangan keperluan untuk keluarganya,” katanya.

PKPD di Kemta sebelum ini diadakan pada 30 Disember hingga 12 Januari lalu.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, Polis Perak akan lebih bertegas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua di negeri ini ekoran peningkatan statistik Covid-19 di negeri ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI