PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan beberapa langkah penting sudah dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan pesakit-pesakit yang dirawat akibat Covid-19 di fasiliti KKM di Johor.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor sudah menubuhkan 10 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC COVID-19) di seluruh negeri itu bagi tujuan menilai dan menyaring pesakit positif Covid-19.
Beliau berkata, Klinik Kesihatan Bukit Indah, Johor Bahru juga beroperasi khusus menyaring pesakit positif Covid-19 sejak 10 Januari lalu.
“Selain itu, sebanyak 15 buah hospital swasta di Johor turut menyatakan komitmen menyediakan 206 buah katil di wad dan lapan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 bermula 26 Januari lalu.
“Selain itu, hospital swasta ini juga bersedia menerima rujukan pesakit bukan Covid-19 bagi mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan di Johor,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Adham berkata demikian sebagai reaksi kepada artikel dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris, pada 26 Januari lalu bertajuk ‘You Don’t See What We See: A Doctor Tells His Story Of Being Scared As Hell Of Covid-19’.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga akan terus meningkatkan kapasiti katil bagi pesakit Covid-19 di wad umum dan ICU di seluruh hospital kerajaan di seluruh Johor.
Dalam pada itu, Adham berkata, KKM kini sudah bersedia dengan strategi bagi menangani peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara termasuk meningkatkan kapasiti katil termasuk penukaran hospital kerajaan kepada hospital Covid-19 dan hospital hibrid Covid-19.
Menurutnya, kementerian juga merancang menambah bilangan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), memperkenalkan pengasingan pesakit di rumah dan pemantauan pesakit di rumah.
“Di samping itu, CAC Covid-19 yang diwujudkan setiap daerah juga akan menilai kesesuaian samada pesakit Covid-19 akan ditempatkan di rumah atau tidak,” katanya. – K! ONLINE