JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan cabaran hebat dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini apabila diundi dalam Kumpulan G pada majlis undian yang dilakukan secara virtual semalam.
Skuad Harimau Selatan yang dikendalikan oleh Benjamin Mora telah diundi bersama jaguh Liga Super China, Jiangsu Suning dan kelab gergasi Jepun, Nagoya Grampus.
Satu lagi pasukan yang bakal diletakkan dalam Kumpulan G adalah pemenang peringkat playoff antara kelab Korea Selatan, Pohang Steelers yang menentang wakil Thailand, Ratchaburi Mith Pol FC.
Susulan penularan pandemik Covid-19 yang masih belum reda, saingan peringkat kumpulan ACL akan dilangsungkan secara berpusat (karnival) bermula 21 April hingga 7 Mei depan dengan venue kejohanan bakal dimaklumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, dua lagi wakil Liga Malaysia (Liga M) iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) yang bersaing dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut mengetahui nasib mereka.
Diletakkan dalam saingan zon ASEAN, KDA FC telah diletakkan dalam Kumpulan H bersama pasukan meningkat naik dari negara Singapura, Lion City Sailors dan Saigon FC dari Liga Vietnam.
Manakala satu lagi posisi akan diisi oleh pemenang aksi playoff melibatkan wakil Indonesia, Persipura Jayapura yang akan menentang pemenang daripada aksi kelayakan melibatkan Visakha FC (Kemboja) dan Lalenok United (Timor Leste).
Sementara itu, TFC pula akan bersaing dalam Kumpulan I menentang Kaya FC (Filipina), Geylang International (Singapura) dan Shan United atau Ayeyawady United dari Myanmar.