SINGGAH sahaja di Bandar Baru Bangi, Selangor pastinya banyak restoran menawarkan menu dan hidangan menarik yang boleh dikunjungi. Daripada sajian Barat hinggalah ke sajian masakan kampung, pilihan ada di tangan anda.
Namun, bagi penggemar masakan berasaskan kambing, anda wajib mencuba menu dan hidangan di Restoran FarmGrill House di Jalan Impian 2/1, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi yang tampil dengan pilihan menu dengan sajian utamanya berasaskan daging haiwan itu.
Meskipun FarmGrill House baru sahaja memulakan operasi kira-kira tiga bulan lalu, namun sambutan yang diterima pelanggan dan penggemar kambing sama ada perap mahupun bakar amat baik sekali.
Pemilik FarmGrill House, Datuk Suhaimi Mohd., 46, berkata, restoran itu menawarkan cita rasa bertaraf hotel lima bintang yang mampu memikat selera segenap lapisan masyarakat.
“Antara sajian enak termasuklah roti canai kambing, kambing bakar, FarmGrill lamb chop, FarmGrill Royale dan FarmGrill lamb pasta.
“Selain menu berasaskan kambing, kami turut menawarkan lebih 50 menu yang cukup menyelerakan pada harga berpatutan termasuk hidangan makanan tengah hari dengan menu utama asam pedas Nyonya, kari kepala ikan dan ikan bakar,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Menurutnya, dia dan rakan kongsi, Mohd. Faridz Alayedin, 41, bersepakat mengusahakan restoran itu melihatkan kepada permintaan diterima terutamanya dalam kalangan peminat daging kambing.
“Di samping itu, saya turut melihat industri makanan dan minuman ini masih boleh beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jadi kami ingin menawarkan menu yang senang untuk pelanggan nikmati pada harga amat berpatutan setaraf hotel lima bintang,” katanya.
Suhaimi memaklumkan, kesemua sajian enak tersebut adalah hasil sentuhan cef Sofian Abd. Rahman yang merupakan cef berpengalaman dari Hotel Equatorial, Bangi.
“Ditambah pula dengan resepi kambing perap yang diolah sendiri mengikut cita rasa tempatan menggunakan 11 bahan premium antaranya madu, sos barbeku dan campuran herba thyme serta rosemary semestinya menaikkan aroma dan menyelerakan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, FarmGrill House di bawah syarikat FarmGrill Industries Sdn. Bhd. turut mengeluarkan produk sejuk beku daging kambing perap.
“Produk sejuk beku itu dikeluarkan sejak Julai lalu dan sehingga kini sebanyak 88,000 bungkus telah terjual. Ia dijual pada harga RM29.90 menerusi ejen dilantik,” katanya.
Menurutnya, pada asalnya idea untuk mengeluarkan produk sejuk beku kambing perap hanya suka-suka.
“Memang hobi saya suka memasak. Kemudian, saya menjual daging kambing perap secara kecil-kecilan pada bulan Ramadan lalu dan telah mendapat sambutan daripada kenalan.
“Kemudian, saya menjadikan ia sebagai suatu produk di bawah jenama FarmGrill dan dihantar ke kilang mengikut kepada kawalan kualiti yang ditetapkan.
“Dari situ, secara tidak langsung saya turut sama membantu individu yang terjejas berikutan PKP dengan menjana pendapatan menerusi FarmGrill,” katanya.
Suhaimi berkata, dia bersama rakan kongsinya itu kini sedang mengenal pasti lokasi kilang sedia ada bagi menampung kapasiti pengeluaran melihat kepada permintaan tinggi yang diterima terhadap produk sejuk beku FarmGrill.
Ketika tempoh PKP sekarang, restoran itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan hanya menerima pembelian secara bungkus dan penghantaran.