fbpx

37 individu rentas negeri tanpa alasan kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOORZAINY memeriksa kenderaan yang melalui Jalan Bagan Luar, Butterworth semasa SJR bergerak hari ini.

SEBERANG PERAI – Polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) mengeluarkan kompaun terhadap 37 individu yang melakukan rentas negeri sepanjang dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga semalam.

Rata-rata mereka didapati tidak mempunyai alasan munasabah ketika cuba memasuki atau keluar dari negeri ini di sempadan Kedah.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka didapati gagal menunjukkan bukti pengesahan bekerja atau surat kebenaran polis.

“Ada yang sekadar mahu meronda-ronda atau pergi membeli barangan keperluan di Kepala Batas sedangkan di Sungai Petani (Kedah) mereka masih boleh mendapatkan barangan itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau sekatan jalan raya (SJR) bergerak di Jalan Bagan Luar, Butterworth di sini.

Menurut Noorzainy, dalam tempoh sama, pihaknya telah mengeluarkan 256 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 51 kesalahan membabitkan rentas daerah, (66) tidak memakai pelitup muka, (35) tidak mengambil suhu dan imbasan MySejahtera (16) tiada penjarakan fizikal, (14) tidak merekod butiran pelanggan serta (sembilan) perniagaan lebih masa.

“Kita juga mengambil tindakan ke atas 25 tempat yang menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan seperti menjalankan perniagaan kedai gunting, cuci kenderaan dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, sebanyak empat SJR bergerak diadakan pada hari ini di daerah tersebut.

“Setakat pagi ini, orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sempena hari cuti umum, kebanyakan mereka pergi membeli barangan keperluan dalam radius 10 kilometer yang ditetapkan,” katanya.

SJR bergerak berkenaan membabitkan penyertaan anggota dan pegawai dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Penerangan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI