fbpx

Wang RM81,133 guru lesap diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang guru di Lipis kerugian RM81,133 selepas diperdaya sindiket Macau Scam ketika kejadian semalam.

Guru perempuan berusia 35 tahun itu dihubungi wanita menyamar sebagai pegawai percukaian dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek menuntut mangsa membayar tunggakan cukai RM38,600.

“Suspek mendakwa mangsa tidak bayar cukai perniagaan. Mangsa menafikan tidak memiliki perniagaan, namun talian telefon disambungkan kepada beberapa individu berlainan.

“Talian disambung pula kepada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Shahrizan Mansor kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang,” tambahnya.

Mohd. Wazir menambah, talian sekali lagi disambung kepada ‘Inspektor Azman’ yang memaklumkan guru itu disiasat kerana terlibat jenayah pengubahan wang haram.

“Suspek menawarkan jalan penyelesaian kes dan meminta mangsa memuat turun aplikasi yang berkaitan maklumat akaun bank.

“Selepas semua maklumat bank dimasukkan ke dalam aplikasi itu, mangsa menyemak nombor telefon yang digunakan suspek melalui aplikasi WhoCall dan mendapati ia adalah scammer,” katanya.

Ujar Mohd. Wazir lagi, mangsa yang panik itu lantas cuba mengakses akaun bank secara dalam talian, namun telah disekat.

Beliau menambah, mangsa kemudian membuat semakan akaun bank melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan dimaklumkan terdapat transaksi pemindahan wang telah dilakukan.

Mangsa yang menyedari telah ditipu itu tampil membuat laporan di Balai Polis Benta, Lipis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI