fbpx

‘Set siap basuh-siap siang’ jana pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI HARTIKA dibantu anaknya, Muhammad Fazrin memproses barang-barang basah yang ditempah ­pelanggan di rumah mereka di Bukit Baru semalam.

MELAKA – Seorang suri rumah kini meraih pendapatan kasar hampir RM3,000 sebulan dengan menjual set barangan basah ‘siap basuh-siap siang’ termasuk ikan, ayam serta pelbagai makanan laut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Menurut Siti Hartika Shaari, 33, dia menjalankan perniagaan itu selepas menerima wang Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM1,000 pada April tahun lalu, yang dijadikan modal perniagaan.

Ujarnya, permintaan set-set barangan basah tersebut sema­kin mendapat permintaan sejak pelaksanaan PKP 2.0 sehingga terpaksa mengehadkan tempahan kepada hanya 20 buah rumah setiap hari.

“Saya menjual set barang basah bermula pada harga serendah RM20 untuk Set Bajet yang mempunyai ayam dan ikan, sama ada ikan kembung, cencaru atau sardin, namun jenis-jenis lauk boleh ditukar mengikut permintaan.

“Set premium pula adalah Set Besar berharga RM70 dengan tambahan udang, sotong dan pilihan kupang, kerang atau lala bergred A.

“Sejak pelaksanaan PKP 2.0, permintaan naik mendadak, termasuk tempahan dibuat oleh anak-anak yang menetap jauh daripada ibu bapa mereka di sini,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di rumahnya di Bukit Baru di sini semalam.

Jelasnya, rata-rata pelanggan memberikan respons positif dan mengakui turut mempunyai pe­langgan tetap sekarang.

“Saya buat sendiri semua dari beli barang dari pembekal de­ngan harga berpatutan.

“Anak tunggal saya, Muhammad Fazrin Naim Mohd Faizal, 12, pula mengambil tanggungjawab membersihkan semua yang telah diproses sebelum dibungkuskan di dalam plastik lut sinar bagi memudahkan pelanggan menyim­pannya, “ katanya.

Ujarnya, mereka yang duduk di sekitar daerah Melaka Te­ngah dan ingin menempah boleh meng­hubunginya melalui talian 010-2289469 dan dinasihatkan membuat tempahan sehari lebih awal kerana lauk-lauk tersebut diambil secara harian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI