BELURAN – Kementerian Kerja Raya Sabah menganggarkan RM15 juta peruntukan diperlukan bagi membaikpulih kerosakan jalan akibat tanah runtuh di kilometer 127.7 Jalan Paitan – Kanibungan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jalan raya yang rosak teruk akibat tanah runtuh baru-baru ini bakal dibaikpulih secepat mungkin.
“Peruntukan dianggarkan RM15 juta tetapi mungkin juga kurang atau lebih dari jumlah yang dianggarkan itu. Kita akan meminta laporan daripada pakar-pakar yang kita libatkan dalam pembinaan semula jalan raya ini.
“Semua pakar ini adalah yang terlibat dalam penentuan bajet kerana ia memerlukan banyak kerja teknikal,” katanya selepas meninjau kawasan terjejas tanah runtuh petang semalam.
Turut hadir Menteri Pelancongan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury dan Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib.
Dalam pada itu, Bung Moktar juga sudah mengarahkan Pejabat Daerah Kecil Paitan untuk membuat mesyuarat khas dengan memanggil semua agensi berkaitan untuk membuat kajian tentang jalan raya yang putus.
“Saya juga mahu Jabatan Geologi Sabah, Jabatan Pengaliran Dan Saliran Sabah dan Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah dilibatkan dalam mesyuarat khas itu untuk dapat menyelesaikan masalah ini agar permasalahan dapat diselesaikan dalam jangka masa empat atau lima bulan.
“Apabila jalan raya ini putus, ia pastinya akan menyusahkan pengusaha sawit kerana tidak dapat menghantar buah sawit mereka ke kilang-kilang. Perkara itu secara tidak langsung boleh menjejaskan ekonomi rakyat,” katanya. – K! ONLINE