PASIR MAS – Polis percaya kebanyakan rampasan membabitkan senjata api di Kelantan mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya telah merampas 11 pucuk senjata api pelbagai jenis dan 1,049 butir peluru dalam operasi yang telah dijalankan sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, rampasan itu menunjukkan penurunan berbanding tahun 2019 apabila sebanyak 14 pucuk senjata api pelbagai jenis telah berjaya dirampas bersama 507 butir peluru.
Shafien berkata, IPD Pasir Mas telah telah merampas sepucuk pistol bersama lapan butir peluru dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan taman dekat Batu Karang di sini semalam.
“Dalam serbuan pukul 10.45 pagi itu, kita berjaya menahan seorang suspek berusia 38 tahun. Selain pistol, polis turut merampas empat bungkusan kecil yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah.
“Ujian sarjngan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkait jenayah penggunaan dadah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.-K! ONLINE