fbpx

Pesakit talasemia perlu jadi ejen perubahan didik keluarga 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adham

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru individu yang menghidapi talasemia supaya dapat menjadi ejen perubahan dengan mendidik ahli keluarga terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkara itu penting bagi memastikan ahli keluarga terdekat mereka mengetahui kepentingan melakukan ujian saringan dan seterusnya memelihara keturunan mereka.

Beliau berkata, pembawa talasemia sebaik-baiknya memilih bakal pasangan hidup yang tidak membawa baka penyakit itu sekali gus mengurangkan risiko mendapat zuriat yang menghidap penyakit tersebut.

“Sejak sekian lama, KKM sentiasa memberi perhatian terhadap penyakit ini selaras hasrat Persekutuan Talasemia Antarabangsa supaya meningkatkan kefahaman mengenai penyakit ini.

“Talasemia adalah penyakit genetik yang boleh dicegah dan bukan penyakit berjangkit,” katanya ketika berucap pada Kempen Kesedaran Talasemia ‘NowYouSeeMe’ 2021 secara dalam talian, hari ini.

Kempen itu digerakkan hasil kerjasama Repsol Oil & Gas Malaysia Ltd. , Kementerian Pendidikan (KPM) dan KKM.

Sementara itu, Adham berkata, Malaysia Talasemia Registry melaporkan seramai 8,681 pesakit didaftarkan setakat 28 November 2018 yang mana, 7,240 pesakit masih hidup dan sedang menerima rawatan manakala130 lagi pesakit sembuh dengan rawatan sel stem.

Menurutnya, KKM memperkenalkan saringan talasemia kepada pelajar Tingkatan 4 sejak 2016 bagi mengurangkan beban penyakit berkenaan.

“Sejak 2016 hingga 2018, seramai 729,994 ibu bapa telah memberi kebenaran kepada anak mereka untuk menjalani saringan berkenaan di sekolah membabitkan seramai 689,460 pelajar.

“Daripada jumlah saringan itu, seramai 31,716 pelajar dikesan sebagai pembawa talasemia dan ini bermakna seramai 464 orang dalam 10,000 pelajar Tingkatan 4 yang disaring adalah pembawa penyakit itu” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI