KERAJAAN melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di seluruh negara kecuali Sarawak pada ketika ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Diakui pelaksanaan PKP kali kedua yang bermula pada 13 Januari lalu itu menyebabkan ada golongan yang terjejas sama ada dari segi mental atau pun fizikal.
Ada yang berdepan dugaan hilang pekerjaan, pendapatan terjejas dan dijangkiti koronavirus.
Dalam kejadian terbaharu, seorang lelaki berusia 57 tahun ditemui parah selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah flat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Pemeriksaan polis ke atas badan lelaki itu menemui nota luahan mangsa yang memaklumkan dia positif jangkitan Covid-19.
Selain itu, difahamkan, si mati turut mempunyai beberapa penyakit lain termasuk sukar untuk tidur malam.
Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkata, dalam situasi pandemik sebegini, tidak dinafikan ada individu yang berdepan tekanan perasaan.
Menurut beliau, pandemik disebabkan koronaviorus ini memberi kesan kepada ekonomi negara dan dunia, sekali gus memberi impak kepada rakyat negara itu sendiri.
“Mana-mana individu yang lemah mentalnya akan berdepan dengan masalah depresi, kesunyian tanpa teman lebih-lebih lagi semasa musim pelaksanaan PKP ini.
“Ada dalam kalangan rakyat yang terkesan akibat dibuang kerja, pendapatan merosot. Jadi golongan inilah yang memerlukan penjagaan mental sebaiknya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Shazli berkata, bagi mengatasi masalah itu, masyarakat digalakkan supaya sentiasa ambil peduli antara satu sama lain.
“Sokongan sosial itu penting, pasangan suami isteri, anak-anak dan rakan karib perlu memainkan peranan saling membantu moral dan mental sesama sendiri untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Jelas beliau, sekiranya kesihatan mental tidak dirawat dengan betul, individu yang terkesan boleh bertindak di luar kawalan termasuk mencederakan diri malah mengambil keputusan mencabut nyawa sendiri.
Dalam pada itu, Pakar Sosial yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran memberitahu, melakukan aktiviti sihat mampu mencerdaskan minda dan sekali gus membantu meningkatkan kesihatan mental seseorang individu.
“Banyak aktiviti yang boleh dilakukan semasa PKP seperti bercucuk tanam, senaman serta berinteraksi dengan keluarga atau rakan-rakan terdekat mengenai topik-topik yang positif.
“Aktiviti sebegini mampu mengubah hidup dan juga membantu daya pemikiran lebih positif,” katanya.
Jelas beliau, sebagai manusia, interaksi sesama sendiri mampu membantu emosi untuk menjadi lebih kuat dan membina mental yang sihat seterusnya dapat mengelak diri daripada perkara yang tidak diingini seperti bunuh diri terjadi.