AMPANG – Padah memiliki memiliki senjata berbahaya iaitu sepucuk pistol, beberapa butir peluru dan sebilah parang tanpa kebenaran seorang peniaga dihukum penjara lima tahun oleh tiga Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Jumirah Marjuki, Norhazani Hamzah dan Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Kow Peng Han, 39, selepas tertuduh masih mengekalkan pengakuan salah terhadap tiga pertuduhan yang dihadapinya.
Sebelum ini pada 13 Januari lalu, tertuduh telah mengaku salah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Bagi pertuduhan memiliki peluru, Hakim Jumirah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun manakala memiliki pistol, Hakim Azrul mengenakan hukuman penjara lima tahun.
Sementara bagi pertuduhan memiliki parang, Hakim Norhazani menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 1 Januari lalu iaitu tertuduh hanya akan menjalani hukuman penjara selama lima tahun.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa memiliki 10 butir peluru 9 milimeter (mm) jenis Luger PMC dan sepucuk pistol model SIG Sauer P224 yang kedua-duanya tanpa kebenaran yang sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Simpang Jalan Perdana 2/3A Pandan Perdana pukul 10.45 pagi pada 1 Januari lalu.
Bagi kedua-dua kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan ketiga tertuduh didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang panjang berukuran 69 sentimeter pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan itu, peetuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (akta 537) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun.-K! ONLINE