CABARAN sukar menanti perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia menjelang kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok yang dijadualkan bermula hari ini.
Jaguh perseorangan negara itu dijangka berdepan tugas getir apabila diundi dalam Kumpulan A bersama juara dunia 2017, Viktor Axelsen, pemain No.2 dunia, Chou Tien Chen serta wakil Indonesia, Anthony Ginting.
Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan tanpa berselindung mengakui anak buahnya itu menggalas misi yang cukup sukar pada Jelajah Dunia Akhir pertama dalam kariernya.
Kata beliau, Zii Jia perlu berada pada prestasi terbaik selain mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah sekiranya mahu melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
“Bagi saingan Jelajah Dunia Akhir, tidak dinafikan saingan cukup sukar buat Zii Jia jika dilihat pada undian kerana berada dalam satu kumpulan bersama Axelsen, Tien Chen dan Ginting.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh berputus asa dan perlu tampilkan aksi terbaik sekiranya mahu melangkah lebih jauh pada kejohanan ini. Kita akan bekerja lebih keras dalam latihan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, Zii Jia yang juga pemain No.10 dunia memastikan tempat ke Jelajah Dunia Akhir selepas menghuni tangga kelapan ranking Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kali ini, dia berpeluang menebus kekecewaan apabila tewas di peringkat suku akhir pada kejohanan Yonex Terbuka Thailand selain tersingkir seawal pusingan pertama dalam aksi Toyota Terbuka Thailand.