TANAH MERAH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negera (Perhilitan) Kelantan menangkap lima sekawan gajah betina yang menceroboh kawasan kebun di Kampung Kuala Tiga di sini semalam.
Kumpulan gajah yang membuat kacau sejak November tahun lalu itu ditangkap pada pukul 4.30 petang di kawasan kebun getah berhampiran kampung berkenaan.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, operasi pemindahan kumpulan gajah liar itu akan dijalankan dalam masa terdekat.
Menurutnya, Perhilitan Kelantan akan meminta bantuan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang untuk kerja-kerja pemindahan.
“Kelima-ima hidupan liar itu akan dilepaskan ke habitat semula jadi di kawasan Taman Negara.
“Dengan penangkapan lima ekor gajah itu, ia pasti menghilangkan resah penduduk kampung itu termasuk Air Kerla, Bukit Capong dan Air Resom yang turut mendapat ancaman daripada haiwan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ady Ermanty, siasatan awal mendapati, hidupan liar itu datang dari kumpulan gajah yang terdapat di kawasan Hutan Simpan Sokor Taku.
“Gajah-gajah ini dipercayai telah keluar dari hutan simpan berkenaan untuk mencari sumber makanan,” ujarnya. – K! ONLINE