KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memaklumkan lebih 50 juta saman tertunggak yang belum dijelaskan pesalah-pesalah trafik di seluruh negara sejak tahun 2000.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, bagi membolehkan pesalah trafik membuat bayaran, pihaknya berpendapat platform dalam talian sesuai digunapakai lebih-lebih lagi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Justeru itu, beliau meminta Kementerian Kewangan melihat semula kedudukan syarikat yang bertanggungjawab menyediakan platform pembayaran saman secara dalam talian bagi membolehkan pesalah trafik membuat bayaran dengan cepat dan mudah.
“Saya merayu kerajaan agar keputusan segera dapat dibuat bagi melancarkan kutipan saman yang tertunggak dengan banyak ini.
“Ramai yang mahukan sistem ini diteruskan, ia berdasarkan maklum balas daripada orang ramai yang lebih gemar membuat bayaran secara dalam talian memandangkan ia lebih mudah dan cepat berbanding membuat bayaran di kaunter,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azisman berkata, pihak JSPT juga berada pada fasa terakhir (peringkat teknikal) dalam persediaan membangunkan aplikasi dalam talian bagi membolehkan orang awam membayar saman dengan mudah dan cepat.-K! ONLINE