fbpx

Koperal polis marin didakwa atas 101 lagi tuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zubairi (kiri) didakwa atas 101 lagi tuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. - Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Anggota polis marin berpangkat koperal yang sebelum ini didakwa atas 43 tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam, didakwa atas 101 lagi pertuduhan rasuah di mahkamah sama hari ini membabitkan wang tunai berjumlah RM243,040 yang diterima antara tahun 2016-2019.

Zubairi Abd Mutalib, 60, yang bertugas sebagai ketua jentera bot ronda yang berpengkalan di Kampung Acheh Sitiawan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Dia dituduh menerima wang tunai daripada tujuh individu berjumlah antara RM7,285 hingga RM123,390 antara Mei 2016 hingga Julai 2019.

Wang tunai itu diterima tertuduh sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan perhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya untuk tidak mengambil tindakan terhadap beberapa bot nelayan milik individu terbabit sepanjang tempoh itu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Zubairi turut didakwa dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Untuk kesemua 144 pertuduhan, Zubairi didakwa sudah menerima sebanyak RM389,390 wang tunai membabitkan lapan individu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM48,000 bagi kesemua 144 pertuduhan termasuk 43 pertuduhan yang dikenakan semalam dengan seorang penjamin.

Pendakwaan 101 pertuduhan terhadap Zubairi mengambil masa selama hampir empat jam bermula pukul 9 pagi, ditangguhkan beberapa kali dan selesai pukul 1 tengah hari. Mahkamah menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI