KEMAMAN – Sebuah lori yang dikesan memandu secara berbahaya di Jalan Mak Lagam-Cheneh dekat sini pada kelmarin berjaya dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak sampai 28 jam selepas videonya tular di media sosial.
Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, beliau mengerahkan anggota penguat kuasanya untuk melakukan siasatan selepas video tersebut tular di laman Facebook pada pukul 11.39 pagi.
“Lori yang tular cuba memotong secara berbahaya sewaktu melalui laluan berbukit di Jalan Mak Lagam-Cheneh berhampiran Bukit Jemalang dekat sini tersebut berjaya dikesan pada kira-kira pukul 3 petang semalam.
“Begitupun, berdasarkan keterangan pengurusan pemilik lori berkenaan, pemandu terlibat sudah diberhentikan tidak lama selepas video perbuatannya tular di media sosial,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang pengguna Facebook yang hanya mahu dikenali sebagai Hulubalang Melayu memuat naik video pengalaman cemasnya hampir bertembung dengan lori berkenaan sewaktu melalui Jalan Mak Lagam-Cheneh berkenaan.
Video berdurasi 20 saat berkenaan turut memaparkan lori tersebut sebelum itu cuba memotong tiga kenderaan lain di hadapannya ketika mendaki laluan berbukit dan berselekoh di lokasi kejadian.
Zulkarnain berkata, pihaknya tetap akan memanggil majikan dan pemandu lori tersebut untuk siasatan berhubung insiden tersebut pada masa terdekat. – K! ONLINE