KUALA LUMPUR – Harga bagi unit kediaman subsale (rumah yang dibeli daripada pemilik) bertingkat di negara ini mencatat kemerosotan pada tahun lalu.
Menurut laporan analitik permintaan kediaman subsale 2020 oleh laman hartanah, iProperty.com.my memperincikan, antara faktor penurunan tersebut adalah kerana dipengaruhi penurunan permintaan untuk hartanah tersebut.
Ia disebabkan gangguan ekonomi berpunca daripada pandemik Covid-19 yang telah mengubah kehidupan masyarakat di negara ini.
Pada peringkat nasional, harga bagi kediaman perkhidmatan (servis apartmen) merekodkan kemerosotan paling tinggi iaitu dua peratus dengan harga median RM490,000 manakala harga kondominium merosot 1.4 peratus (harga median 490,000) dan harga apartmen menurun 0.9 peratus (harga median RM250,000).
Kediaman teres bagaimanapun masih mencatatkan pertumbuhan harga sebanyak 2.6 peratus, dengan harga median RM280,000 seunit.
Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia, Premendran Pathmanathan berkata, permintaan dalam negara bagi hartanah subsale pada 2020 jatuh sebanyak 1.3 peratus tahun ke tahun.
“Kuala Lumpur terus mencatatkan penurunan permintaan disebabkan faktor migrasi ke negeri lain, terutamanya Selangor. Manakala Selangor merekodkan pertumbuhan permintaan disebabkan peralihan minat kepada hartanah di pinggir bandar yang lebih luas dan mampu milik.
“Johor dan Pulau Pinang pula mengalami kemerosotan permintaan tinggi disebabkan penutupan sempadan yang telah mengurangkan sentimen pembeli asing untuk membeli hartanah dan melancong,” katanya ketika membentangkan laporan berkenaan secara maya semalam.
Premendran menerangkan, antara pasaran paling teruk terjejas adalah pusat bandar Kuala Lumpur yang merekodkan penguncupan permintaan 8.9 peratus dengan penurunan harga sebanyak 11 peratus manakala George Town mencatatkan kemerosotan permintaan 11.9 peratus serta penurunan harga 7 peratus.
Kawasan yang dijangka bakal mencatatkan pertumbuhan pula ialah Iskandar Puteri, Johor; Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan Puncak Alam, Selangor.
Beliau menjelaskan, sektor hartanah dijangka kekal mencabar pada separuh pertama tahun ini dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan kawalan pergerakan menyukarkan orang ramai untuk membeli hartanah.
Tambahnya, pihak bank juga dijangka lebih berhati-hati untuk meluluskan pembiayaan disebabkan kadar faedah yang rendah.
“Bagaimanapun, pemberian vaksin yang bakal dilaksanakan dijangka kembali memacu ekonomi seterusnya menyokong industri.
“Selain itu, kadar dasar semalaman rendah serta disokong oleh penurunan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memberi wang lebihan seterusnya meningkatkan peluang untuk masyarakat mendapat pembiayaan,” katanya.