GOMBAK – Empat jalan dalam daerah ini akan ditutup sempena sambutan perayaan Thaipusam selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat.
Ia melibatkan jalan masuk ke Kuil Batu Caves dari arah bulatan Batu Caves, susur Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Jalan Perusahaan Batu Caves, simpang Jalan Perusahaan ke Bulatan Batu Caves dan jalan ke tempat mandian utama, Sungai Batu Caves.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, penutupan jalan akan dilakukan bermula pukul 12.01 malam ini dan berakhir pukul 6 pagi pada Jumaat ini.
Menurutnya, penutupan ini dilakukan susulan kebenaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan pergerakan membawa Arca Dewa Murugan dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H. S. Lee ke Kuil Seri Subramaniam, Batu Caves sempena Hari Thaipusam esok.
“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak perlu hadir kerana upacara sembahyang di kuil sempena Thaipusam kali ini tidak dibenarkan.
“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) sempena Thaipusam yang telah ditetapkan oleh MKN,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, semua pihak diminta memberikan kerjasama dengan mematuhi SOP PKP yang sedang berkuatkuasa di negeri ini khususnya. – K! ONLINE