SEJAK kebelakangan ini, semakin ramai masyarakat terutamanya golongan muda mula melupakan pejuang tanah air termasuklah pengorbanan anggota tentera.
Golongan tersebut melihat anggota tentera tidak mempunyai fungsi, sebaliknya hanya membazir wang kerajaan menerusi pembayaran gaji atau pembelian aset.
Disebabkan itu, syarikat pengeluar kenderaan, DRB-HICOM Berhad menerusi anak syarikatnya, DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech) terpanggil untuk mengangkat sumbangan pasukan tentera menerusi penghasilan video pendek.
Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Mahmood Abdul Razak berkata, pihaknya menghasilkan video tersebut sebagai menghargai jasa dan pengorbanan anggota tentera.
Jelasnya, ia juga diharap dapat membuka mata masyarakat terutamanya golongan muda mengenai peranan besar yang telah dimainkan anggota tentera selama ini.
“Kami dapati semakin ramai yang melupakan pengorbanan anggota tentera. Malah, ada yang memperlekehkan sumbangan mereka kepada kesejahteraan negara.
“Jadi, kami terpanggil untuk menghasilkan video pendek pertama bertajuk #Pahlawanku pada November tahun lalu,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Buat masa ini, video pendek yang dibintangi oleh beberapa pelakon terkemuka seperti Fahrin Ahmad telah berjaya meraih 2.16 juta tontonan di YouTube.
Video #Pahlawanku berkisar mengenai kisah seorang kanak-kanak yang inginkan kepastian mengenai kesan parut peluru pada perut datuknya.
Selepas diceritakan peristiwa sebenar, baru kanak-kanak tersebut mengerti bahawa datuknya merupakan seorang anggota tentera yang terlibat dalam memerangi Komunis suatu ketika dahulu.
Menurut Mahmood, pihaknya akan terus mengeluarkan video pendek selepas ini terutamanya pada menjelang sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai setiap tahun.
“Kami mahu seluruh rakyat Malaysia tertunggu-tunggu video dari Deftech setiap kali tiba Hari Pahlawan pada setiap tahun,” katanya.