fbpx

Budak empat tahun, ibu mati digilis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua beranak berketurunan Rohingya meninggal dunia di tempat kejadian selepas maut digilis di persimpangan lampu isyarat Jalan 4/3a–6/3a Pusat Bandar Utara berdekatan Pasar Borong Selayang di sini semalam.

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang kanak-kanak berusia empat tahun bersama ibunya untuk membeli barang di Pasar Borong Selayang tidak kesampaian apabila mereka maut digilis sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Jalan 4/3a–6/3a Pusat Bandar Utara berdekatan pasar berkenaan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, dua beranak berketurunan Rohingya, Shahidah Tuaher, 34, dan anaknya, Harisa Kassim, 4, parah di bahagian perut meninggal dunia serta-merta di lokasi kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah lori bergerak dari lorong paling kanan di persimpangan lampu isyarat semasa lampu isyarat warna hijau dan menghala ke Jalan 6/3a iaitu simpang di sebelah kanan jalan.

“Secara tiba-tiba motosikal yang dinaiki dua beranak itu datang dari belakang dan cuba memotong lori berkenaan di sebelah kiri jalan.

“Bagaimanapun motosikal jenis Honda NF100 itu telah bergesel pada bahagian kiri hadapan lori menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh ke bawah tayar kiri lori dan digilis di bahagian perut,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.

Jelasnya, kedua-dua beranak itu dipercayai menghala ke Pasar Borong Selayang untuk membeli barang.

“Semakan mendapati wanita tersebut adalah seorang suri rumah dan kedua-duanya adalah warga Myanmar beragama Islam dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR),” ujarnya.

Katanya, jenazah dua beranak itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

“Ujian alkohol dan dadah turut dilakukan terhadap pemandu lori berusia 72 tahun yang beralamat di Pahang bagaimanapun ia didapati negatif,” ujarnya.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI