fbpx

Ashraff selongkar tong sampah bantu cari rezeki untuk keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Ashraff mencuba basikal yang diterima di rumah keluarganya di Kampung Telaga Gayong, Pasir Puteh hari ini.

PASIR PUTEH – Perbuatan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, Mohd. Ashraff Mokhtar yang sering memungut barangan terbuang di tong sampah sekitar bandar menarik perhatian Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ab. Pattah Hasbullah menjejaki keluarganya.

Rombongan Ketua Jajahan bersama Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan, Mahadi Awang menemui keluarga kanak-kanak itu di Kampung Telaga Gayong, di sini hari ini yang ternyata terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

Menurut Mahadi, anak yatim itu tinggal bersama ibunya, Ropeeah Yunuh, 50, tiga kakak yang masih bersekolah dan seorang abang yang bekerja sebagai tukang rumah untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Mereka menyewa di sebuah rumah dengan kadar RM200 sebulan. Ibunya bekerja di kedai makan berdekatan dengan bayaran gaji RM30 sehari.

“Kini, mereka hilang punca pendapatan apabila kedai makan tempat ibunya bekerja ditutup manakala abang Mohd. Ashraff tidak dipanggil semula untuk bekerja kerana pembinaan rumah dihentikan seketika sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Dalam lawatan itu, Yadim menyampaikan bungkusan makanan, sebuah basikal dan wang tunai bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan.

Mengulas lanjut, Mahadi berkata, keluarga berkenaan juga akan mendapat bantuan bulanan persekolahan anak-anak sebanyak RM400 sebagai sumber utama perbelanjaan sepanjang PKP ini.

Sementara itu, Ab. Pattah berkata, pihaknya akan membantu ibu tunggal itu mengusahakan gerai pisang goreng dalam tempoh terdekat dalam usaha membantu mereka mendapatkan sumber kewangan yang boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka nanti.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI