KULAI – Tindakan pantas polis berjaya menahan tiga individu termasuk seorang wanita yang dipercayai melakukan jenayah pecah rumah dan samun dalam tempoh kurang satu jam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, tangkapan itu dibuat hanya kira-kira 10 minit selepas pihaknya menerima aduan daripada mangsa kira-kira pukul 12.50 pagi semalam.
Menurutnya, mangsa membuat panggilan memaklumkan kediamannya di Jalan Selendang 19, Taman Mewah di sini dipecah masuk.
“Ekoran laporan itu, sepasukan anggota daripada ‘Team Lejang’ telah membuat serbuan di dua lokasi berbeza hanya berselang kira-kira 10 minit kemudian.
“Daripada serbuan berkenaan, polis berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang wanita berusia antara 29 hingga 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya seutas jam tangan, satu batang perengkuh paip, satu tabung berisi wang syiling dan dua buah motosikal.
Beng Yeow berkata, siasatan lanjut yang dibuat mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan perlakuan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Kedua-dua suspek lelaki mempunyai 15 rekod lampau manakala suspek wanita pula mempunyai 25 rekod lampau.
“Polis masih menjalankan siasatan bagi memastikan penglibatan ketiga-tiga suspek dalam kes jenayah lain,” ujarnya.
Beng Yeow turut memberitahu, kesemua suspek kini dikenakan reman selama satu hari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE