SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyelar tindakan memasang kain rentang dan sepanduk dengan perkataan nista serta kurang sopan yang bertentangan dengan budaya dan nilai UMNO.
Mohamad atau mesra dengan panggilan Tok Mad berkata, beliau melihat perkara Itu sebagai kemunculan budaya yang tidak sihat dalam UMNO sejak kebelakangan ini dalam cara mendesak pengunduran Presiden parti.
“Ini bukan budaya dan nilai UMNO, malah ini bukan adab dan susila kita sebagai orang Islam dan Melayu.
“Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi Presiden, yang wajar di santuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin UMNO di peringkat bahagian yang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya melepaskan jawatan sama ada secara terbuka mahupun dengan pemasangan kain rentang.-K! ONLINE